Oleh: Wan Nur Azrin
Sesi forum pertama bersama Encik Neow Choo Seong
SINTOK - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan usaha meningkatkan kefahaman mahasiswa berkaitan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 ke arah memperkasa mahasiswa di negara ini.
Kepimpinan Pemerkasaan Mahasiswa Madani Pasca Pindaan AUKU 2023 menghimpunkan seramai seratus tujuh belas peserta untuk mengikuti tiga forum perbincangan pelbagai sudut berkaitan pindaan AUKU dan impaknya kepada mahasiswa yang berlangsung di Hotel EDC UUM baru-baru ini.
Tujuan utama penyertaan semua pihak ini adalah untuk memahami secara mendalam konsep pindaan AUKU yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pendedahan pindaan AUKU kepada mahasiswa meningkatkan pemahaman yang mendalam mengenai perubahan-perubahan dalam undang-undang urus tadbir kewangan. Hal ini penting bagi pelajar-pelajar agar mereka dapat memahami hak, tanggungjawab, dan kewajipan mereka setelah pindaan dilaksanakan.
Mesej utama yang ditekankan oleh ketiga-tiga tetamu jemputan adalah bagaimana menjadi mahasiswa madani yang kental, cekal, dan mempunyai daya ketahanan tinggi. Mereka berharap agar pada masa akan datang, mahasiswa tidak menjadi lemah atau bergantung kepada kemudahan yang ada di depan mata, tetapi sebaliknya mampu menghadapi cabaran dengan semangat dan ketabahan.
Forum pertama, yang bertajuk "Peranan Pendidikan dalam Membentuk Generasi Madani", oleh Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri Kedua, Encik Neow Choo Seong yang memberikan wawasan berharga mengenai pentingnya pendidikan dalam membentuk masyarakat madani yang dinamik dan beretika.
"Pindaan AUKU 2023: Retorik Politik atau Pemerkasaan Mahasiswa" dalam sesi forum kedua. Seorang Peguam, Encik Ku Amirul Faiz bin Ku Seman yang juga merupakan Mantan YDP MPP UUM pada sesi 2012/2013, memberikan pandangan mengenai impak pindaan AUKU terhadap mahasiswa serta tatakelola pemerkasaan kepada mahasiswa.
Manakala sesi forum ketiga, "Malaysia dan Bangsa", menjadi medan perbincangan mengenai peranan Malaysia dalam membentuk identiti bangsa disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Kewangan, Encik Muhammad Kamil bin Abdul Munim memberikan pandangan beliau mengenai isu-isu semasa dan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam membangunkan bangsa yang bersatu dan maju.
Majlis turut dihadiri oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, serta pengurusan tinggi universiti. Selain itu, turut hadir juga wakil-wakil dari MPP UTHM, MPP USM, MPP UiTM Kedah, MPP UniMAP, dan badan-badan pelajar UUM.
Badan-badan mahasiwa bersama Encik Muhammad Kamil bin Abdul Munim dan Timbalan Naib Canselor , Yang Berusaha Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Yang Berusaha Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, menyoroti pentingnya semua topik forum yang dibincangkan dalam membentuk pandangan dan pendekatan masa depan universiti. Forum ini tidak hanya memberikan peluang untuk bertukar pendapat tetapi juga meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai isu-isu penting yang mempengaruhi masyarakat, belia dan negara.
Menurut MPP UUM, Muhammad Danish Itqan juga telah menyatakan pandangan bahawa mahasiswa kini perlu bersedia untuk bertanggungjawab mengawal kewangan mereka sendiri berikutan langkah AUKU pindaan oleh Kerajaan Malaysia. MPP bertindak sebagai platform pertama untuk membuktikan kesediaan mereka dalam memperkasa urus tadbir kewangan dan aktiviti mahasiswa, jelas beliau.
Di samping itu, langkah proaktif telah diambil oleh MPP UUM dengan melaksanakan sistem kewangan kelolaan pelajar sebagai ujian awal, sebelum diserahkan kepada badan kepimpinan pelajar yang lain.
MPP UUM berharap program ini dapat mengurangkan jurang di antara badan pelajar dan pihak pengurusan tertinggi universiti, sekali gus dapat menjadikan UUM sebagai salah sebuah universiti yang disegani dengan sistem pengurusan yang cemerlang selaras dengan Tahun Melawat UUM dan Hari Pengasasan UUM ke-40.
Suasana dewan dipenuhi para peserta yang terdiri daripada pelajar, pegawai, dan wakil-wakil Majlis Perwakilan Pelajar dari pelbagai institusi. Barisan hadapan dihuni oleh panel jemputan dan tetamu kehormat
Comments