top of page
Green Farm
Writer's picturebelurunews

Usaha Dan Kepimpinan: Asyraf Pemimpin Muda Cemerlang

Updated: Jul 2

Oleh: Sharifah Nur Qistina Bt Azman

Muhammad Asyraf ketika menguruskan Program Mobiliti di Indonesia


SINTOK - Kupasan pengalaman dan usaha Presiden Inasis Petronas UUM, Muhammad Asyraf Muhd Fazil, yang juga merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dengan Kepujian, serta perkongsian beberapa tips dalam kepimpinan menjadi seorang Duta Unilever.


Bagaimana pengalaman hidup anda menjadikan anda seorang pemimpin pelajar sekarang?

Saya mendapat dorongan menjadi seorang pemimpin pelajar ketika saya berada di semester satu di UUM. Saya mula melibatkan diri dalam ahli jawatankuasa kepimpinan dan kebajikan siswa di inasis saya iaitu Petronas. Ketika itu saya mendapat jawatan sebagai Exco Komuniti, Integriti dan Antarabangsa dan banyak yang telah saya pelajari ketika memegang jawatan tersebut. Pengalaman inilah yang membentuk saya menjadi seorang pemimpin pelajar dan Presiden di Inasis Petronas.


Usaha saya sebelum menjadi Presiden juga membantu saya pelajari dengan lebih mendalam tentang ilmu kepimpinan. Saya pernah menjadi Pengarah Program Mobiliti ke Korea selama 7 hari yang melibatkan seramai empat puluh sembilan orang pelajar ketika itu. Saya juga pernah menjadi pembentang untuk Program Student Leadership Summit 2023, Padang Indonesia.


Selepas saya diberi jawatan sebagai Presiden Inasis Petronas, saya mula memimpin anak buah saya dalam mencapai ‘key performance indicator’ untuk membantu menyelesaikan masalah berkaitan kebajikan pelajar di Inasis Petronas. Beberapa usaha dibawah pimpinan saya yang telah direalisasikan antaranya adalah bantuan penapis air Coway di setiap blok, naik taraf tandas, program ‘food bank’, penyediaan padang bola tampar di blok perempuan serta naik taraf kafe di sini. Inilah antara usaha saya selama menjadi presiden dan akan saya cuba sehabis baik untuk menjaga kebajikan pelajar di Inasis Petronas.


Apakah cara yang efektif dalam menguruskan organisasi ketika berhadapan dengan krisis dalam kumpulan?

Ketika saya memegang jawatan sebagai presiden, banyak ragam, karakter dan gaya seseorang yang telah saya lalui. Sebagai seorang ketua, saya amat menekankan tentang sifat tegas dalam setiap keputusan yang dibuat supaya mereka sentiasa menjalankan tugas dan tidak sambil lewa dalam membuat sesuatu kerja. Ada anak buah saya yang tidak mendengar arahan, jadi saya terapkan sifat tegas dalam diri supaya kerja yang diberi berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Saya juga sentiasa menekankan sifat prihatin terhadap anak buah saya. Sebagai contoh, saya akan tanya mereka tentang masalah yang timbul dan saling membantu mereka dalam membuat kerja.


Apabila sesuatu masalah timbul, saya akan membuat perancangan awal, keputusan dengan pantas, serta perbincangan dan pendapat daripada mereka. Ini membantu ahli saya memahami peranan mereka dalam setiap tindakan yang perlu diambil. Saya juga amat mementingkan komunikasi yang jelas terhadap anak buah saya supaya maklumat dan arahan yang diberi adalah jelas dan tepat, jadi mereka akan dapat memberi kerjasama dalam membuat kerja.


Sebagai seorang ketua yang memimpin anak buah, fleksibiliti juga penting dalam penyediaan untuk mengubah strategi dan pendekatan berdasarkan keadaan semasa. Fleksibiliti adalah kunci sebenar dalam menguruskan masalah atau krisis dalam organisasi dengan berkesan. Sifat pengorbanan juga penting dalam usaha kita, jadi saya juga menekankan tentang keseimbangan dalam akademik dan kokurikulum supaya tiada anak buah saya yang mengorbankan akademik mereka demi pencapaian kokurikulum. Pengurusan masa amatlah penting dalam rutin harian supaya kita tidak membazir masa dan tertinggal perancangan yang sepatutnya.


“Pengalaman yang membuatkan kita matang”. Itulah kata kata yang sering saya ingatkan kepada anak buah. Kesilapan yang dibuat akan kita pelajari dan ianya adalah proses penambahbaikan dalam diri kita untuk menjadi seseorang yang menyumbang kepada kebaikan diri, pelajar dan masyarakat.


Jadi, pengalaman yang membentuk kita menjadi seorang pemimpin, dan membezakan kita dengan orang lain. Sebagai seorang mahasiswa juga, ambillah sebanyak mana peluang untuk kita belajar menjadi seseorang yang dapat menyumbang kepada masyarakat kelak.


Apakah cabaran yang dihadapi sebagai seorang mahasiswa, Presiden Inasis Petronas dan juga dalam menjadi duta di Unilever?


Muhammad Asyraf sebagai duta pelajar di Syarikat Unilever


Selain memegang jawatan Presiden, saya juga diberi peluang untuk menjadi seorang duta pelajar di salah satu syarikat pengeluar dan pembekal barangan terbesar di dunia, iaitu Unilever. Syarikat ini terkenal dengan jenama yang hebat dan merupakan salah satu perniagaan produk makanan dan minuman, kecantikan dan penjagaan diri, serta produk penjagaan rumah yang mendorong prestasi syarikat yang unggul.


Apabila diberi tanggungjawab ini, banyak cabaran yang telah saya hadapi terutama sekali dalam pengurusan masa sebagai seorang mahasiswa, Presiden dan juga duta syarikat Unilever. Jadi, saya akan bahagi masa saya dengan betul, sentiasa kekal positif dan juga profesional dalam melakukan tugas. Ini membantu saya untuk kekal produktif dalam rutin harian saya sebagai seorang penuntut ilmu.


Saya juga cakna dalam menetapkan keutamaan dan matlamat dengan betul supaya saya tidak ketinggalan dalam pelajaran. Saya menetapkan masa yang khusus untuk belajar dan menyiapkan tugasan dengan tanggungjawab sebagai duta pelajar di Unilever supaya masa belajar saya tidak terganggu. Sebagai seorang Presiden Inasis juga, saya amat mementingkan pembahagian tugasan kepada ahli jawatankuasa bawahan saya. Ini akan membantu meringankan beban kerja saya dan memastikan segala urusan berjalan dengan lancar.


Pendapat tentang masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Kesihatan mental dalam kalangan pelajar adalah satu isu yang perlu diambil perhatian kerana ia boleh memberi kesan yang mendalam terhadap diri kita, prestasi akademik serta kehidupan sosial. Antara faktor yang menyumbang terhadap masalah ini adalah tekanan akademik, isu - isu peribadi, masalah kewangan, atau perubahan dalam persekitaran hidup, terutama bagi pelajar yang tinggal jauh dari keluarga mereka.


Kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan merupakan masalah yang biasa dialami oleh pelajar universiti. Statistik dan laporan World Health Organization (WHO) juga ada menunjukkan peningkatan terhadap kes kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan pelajar universiti. Tambahan pula dengan kejadian pandemik COVID-19 telah meningkatkan kes kemurungan ini, iaitu ketika pelajar menghadapi tekanan tambahan seperti pembelajaran jarak jauh, ketidakpastian masa depan serta kekurangan interaksi sosial.


Sebagai seorang Presiden Inasis serta duta pelajar yang menyumbang terhadap kebaikan masyarakat, saya cakna akan masalah ini. Beberapa inisiatif telah diusahakan, antaranya ialah mengadakan program kempen kesedaran kesihatan mental di Student Lounge Inasis Petronas. Kempen ini melibatkan ceramah, pemeriksaan kesihatan mental, serta pendedahan terhadap tanda-tanda awal masalah mental dan cara penyelesaiannya.


Saya juga menyarankan pelajar untuk berusaha mencari akses terhadap sokongan profesional seperti kaunseling dari kaunselor inasis atau di Pusat Kesihatan Universiti. Sentiasalah berhubung dengan keluarga dan mencari rakan yang membawa suasana dan persekitaran yang positif terhadap diri kita. Apabila wujudnya kumpulan rakan yang membawa persekitaran positif, kita boleh berkongsi pengalaman dan mendapat sokongan yang baik dari rakan sebaya.


Aktif dalam aktiviti sukan dan rekreasi juga membantu meningkatkan kecergasan diri, kesihatan fizikal sekaligus dapat mengurangkan tekanan mental. Aktiviti - aktiviti ini bukan sahaja penting untuk kesihatan fizikal dan mental, tetapi juga membantu meningkatkan prestasi akademik, kokurikulum dan perkembangan pelajar secara menyeluruh dan seimbang.


Nasihat yang boleh diberi kepada mereka yang ingin meningkatkan gaya kepimpinan mereka.


Barisan Ahli Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa,

Residen Siswa dan Ketua Blok Inasis Petronas


Kepimpinan yang efektif semestinya memerlukan kemahiran mendengar yang baik. Sentiasa mendengar maklum balas ahli kumpulan, keperluan serta idea mereka supaya kita dapat membina hubungan yang kukuh dan membantu dalam membuat keputusan yang tepat. Empati juga membantu seorang ketua memahami perasaan dan pandangan ahli kumpulan supaya dapat membina kepercayaan dan mempunyai sikap hormat antara ahli dalam kumpulan.


Hargai dan raikan usaha setiap ahli supaya penghargaan yang diberi dapat meningkatkan motivasi dan kepuasan dalam melakukan kerja dalam kumpulan. Pemimpin yang baik merupakan contoh teladan bagi pasukan mereka, jadi tunjukkan integriti dan kejujuran dalam setiap tindakan supaya kita dapat membina keyakinan dan kepercayan dalam ahli kumpulan. Menjadi seorang pemimpin juga memerlukan kemahiran mengurus konflik dengan bijak, usaha yang berterusan serta komitmen untuk belajar dan berkembang.


Pemimpin yang paling dikagumi dan mengapa.

Tun Dr. Mahathir, yang merupakan bekas perdana menteri Malaysia yang keempat dan ketujuh. Saya amat kagum dengan kepimpinan beliau dalam strategi pembangunan ekonomi yang berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang pesat. Beliau juga tegas dan berani dalam membuat keputusan yang kontroversial tetapi bertujuan untuk kepentingan negara. Semasa Malaysia menghadapi krisis kewangan, beliau menolak bantuan daripada International Monetary Fund (IMF) dan membina inisiatif kawalan modal sendiri yang berjaya mengembalikan kestabilan ekonomi Malaysia. Kepimpinannya yang tegas, inovatif dan berprinsip telah memberi impak yang mendalam dan mengagumi para pemimpin yang lain.

27 views0 comments

Comments


bottom of page