top of page
Green Farm
Writer's picturebelurunews

Membangun Bersama: UUM Dan Komuniti Bersatu Demi Autisme

Updated: Jul 1

Oleh: Tio Hui Jing

Persembahan daripada anak-anak autisme


SINTOK – SLCP telah mengadakan program istimewa “UUM Menyantuni Autisme” seiring dengan Ulang Tahun Ke-40 Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini untuk meningkatkan kesedaran tentang autisme. 


Program berlangsung di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah ini menampilkan pakar kesihatan, selebriti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Beberapa buah sekolah autisme seperti SK Bandar Baru Sintok, SK Wan Kemara, SK Batu 18 dan SMK Bandar Baru Sintok telah menyertai program ini. Program ini turut disertai oleh kaunselor dari PPD Kubang Pasu. 


Menurut Pengarah Program Dr. Yusniza Mohd Yusoff, program ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan kesefahaman guru, ibubapa, dan masyarakat tentang gangguan spektrum autisme (ASD). 


“Program ini diadakan untuk membantu guru, ibubapa dan masyarakat untuk mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah autisme dengan lebih awal agar intervensi awal dapat diberikan. 


“Program UUM Menyantuni Autisme bertujuan untuk meningkatkan dan memberi sokongan yang tepat kepada pelajar-pelajar yang mempunyai diagnosis autisme,” ujar beliau lagi. 


Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan. “Sambutan seperti ini amat penting dan berperanan untuk menekankan betapa pentingnya kita mengambil kira hak asasi semua individu berkelainan upaya (OKU) dan memberikan mereka peluang untuk saksama bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka dari semua aspek di sepanjang hayat mereka,” ujar beliau. 


Menurut beliau, UUM juga mempunyai sebelas orang pelajar autisme yang kini menuntut ilmu dalam pelbagai jurusan seperti Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Teknologi Maklumat, Pengurusan Risiko dan Insurans, Sains Pemutusan, Sains Komputer, Komunikasi, Ekonomi, Pengurusan Acara dan Pengurusan Pelancongan. 


Beliau juga mengatakan bahawa UUM merupakan salah satu universiti awam yang mempunyai Independent Living Centre Pertubuhan Mahasiswa Istimewa UUM (ILC PERMAI UUM) dengan kelengkapan yang diwujudkan di Inasis Petronas. Beliau berharap agar warga UUM dan masyarakat dapat memberi sokongan dan dorongan kepada para pelajar dengan adanya kelengkapan tersebut. 


“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengajak semua pihak terutamanya kakitangan UUM untuk memberi sokongan sekaligus meningkatkan kesedaran mengenai autisme dan keberadaan pelajar-pelajar ini di UUM. Saya berharap agar semangat kesedaran dan sokongan ini berterusan dan sentiasa diperkukuhkan untuk tahun-tahun ke hadapan,” kata beliau lagi. 


Antara aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut adalah sesi ceramah kesihatan yang disampaikan oleh Dr. Mohd Affendi Bin Hashim, yang juga merupakan Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja dan Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah dengan tajuk ceramahnya “Keibubapaan bagi Anak-anak Berkeperluan Khas”. 


Dalam ceramah tersebut, beliau menyenaraikan beberapa petua untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa seperti kanak-kanak istimewa memerlukan ibubapa yang istimewa, penjagaan bermula dengan mendapat maklumat yang betul dan tepat, perasaan ibubapa tentang anak-anak istimewa, kanak-kanak istimewa memerlukan perhatian khusus dan bantuan sentiasa ada jika perlukan. 


Justeru itu, beliau juga memberitahu cara untuk kita dapat membantu ibubapa yang mempunyai anak-anak istimewa iaitu dengan sekali-sekala membawa makanan dengan memastikan makanan yang dibawa sesuai untuk anak-anak istimewa, menawarkan bantuan untuk mengasuh anak, menemani ibubapa semasa rawatan susulan, bertanya cara kita dapat membantu mereka, sentiasa berikan masa untuk mendengar luahan mereka, sabar dengan anak-anak istimewa dan tidak menghakimi ibubapa dengan anak-anak istimewa. 


Sesi perkongsian bersama Dr. Ahmad Idham Bin Ahmad Nadzri bersama isterinya Puan Jameah Binti Abdul Aziz. 


Sesi perkongsian turut menampilkan bersama Dr. Ahmad Idham Bin Ahmad Nadzri yang merupakan penerbit dan pengarah filem, salah seorang alumni UUM dan pengasas Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus bersama isterinya Puan Jameah Binti Abdul Aziz, atau lebih dikenali sebagai Amy Aziz. 


Melalui sesi perkongsian tersebut, dapat disimpulkan bahawa kerjasama antara ibubapa adalah sangat penting walaupun tahap sokongan setiap keluarga adalah berbeza. Selain itu, perancangan juga sangat penting bagi anak-anak istimewa ini pada setiap peringkat kerana kita berharap agar mereka dapat hidup berdikari. 


Selain itu, pihak penganjur juga menyediakan reruai perubatan dari Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah di mana para pengunjung atau peserta dapat menjalankan ujian kesihatan mental dan dapat bermain dengan aktiviti yang disediakan seperti mewarnakan batu, membuat penanda buku dan sebagainya. 


Reruai informasi tentang Independent Living Centre (ILC) Permai oleh Inasis Petronas juga disediakan agar dapat mendedahkan para pengunjung tentang kemudahan dan kelengkapan yang disediakan oleh UUM kepada pelajar-pelajar istimewa. 


Pameran seni oleh anak-anak autisme


Pameran seni oleh anak-anak autisme juga dijalankan sepanjang program berlangsung untuk menunjukkan dan menonjolkan bakat-bakat anak-anak istimewa ini. Antara pameran yang terdapat pada hari tersebut adalah pameran lukisan anak-anak autisme di mana para pengunjung berpeluang untuk melihat anak-anak ini melukis gambar-gambar kesukaan mereka. Terdapat juga seorang anak autisme yang sangat mahir dalam pengiraan di mana dia dapat mengira tanpa menggunakan kalkulator. 


Justeru itu, kempen derma darah turut dijalankan sepanjang program berlangsung agar dapat menarik perhatian pengunjung yang berminat untuk menderma darah dan pada masa yang sama mendedahkan mereka dengan program UUM Menyantuni Autisme 2024. 


Program dimeriahkan lagi dengan penyaksian persembahan khas anak-anak istimewa seperti bercerita dan tayangan filem juga disediakan kepada anak-anak autisme di Bilik Auditorium 2, Perpustakaan Sultanah Bahiyah. 













5 views0 comments

Comments


bottom of page