Oleh: Nurizzatul Nisa Binti Abdul Hamid
Presiden Badan Eksekutif Mahasiswa Fakultas Ekonomika dan Bisnis
menerima penghargaan daripada pengarah program
SINTOK - Program mobiliti pelajar adalah inisiatif institusi pengajian tinggi untuk membolehkan pelajar mengikuti sebahagian daripada pengajian mereka di institusi lain, sama ada di dalam negara atau di luar negara. Program mobiliti bertujuan untuk memperluas pengalaman akademik dan budaya pelajar, serta meningkatkan keterampilan dan kebolehpasaran mereka.
Program mobiliti pelajar menjadi semakin popular di kalangan institusi pengajian tinggi di seluruh dunia untuk memberikan pengalaman dan memperkukuh bakat kepemimpinan di kalangan generasi muda. Dengan fokus kepada pertukaran budaya, pemahaman global, dan pengembangan kemahiran kepemimpinan, program ini memberikan platform unik bagi pelajar untuk memperluas wawasan mereka dan membina jaringan antarabangsa yang kuat.
Terdapat 2 kategori program mobiliti pelajar iaitu mobiliti kredit atau tanpa kredit. Program mobiliti dengan kredit ini direka untuk memberi pelajar pengalaman akademik yang terstruktur di luar negara. Pelajar biasanya mengambil mata pelajaran yang diiktiraf dan memperoleh kredit yang boleh dipindahkan ke program pengajian mereka.
Sejak tahun 2015 sehingga 2018, seramai 446 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjalani program mobiliti keluar negara. Ini menunjukkan bahawa terdapat ramai pelajar yang berminat menyertai program mobiliti.
Bagi program mobiliti tanpa kredit lebih menekankan kepada pengalaman peribadi, budaya, dan pembangunan kemahiran daripada penyelesaian akademik dan pelajar tidak menerima kredit yang boleh dipindahkan. Meskipun tidak mendapat kredit akademik, pelajar masih berpeluang untuk membina jaringan global, memperluas wawasan budaya, dan memperkukuhkan kemahiran sosial dan kepimpinan.
Pengalaman mobiliti membantu pelajar membangunkan kemahiran global seperti kebolehan beradaptasi, kepimpinan, komunikasi antara budaya, dan pemahaman terhadap isu-isu global yang semakin penting dalam pasaran pekerjaan yang serba global.
Selain membekalkan ilmu pengetahuan, pihak universiti juga mengambil inisiatif tambahan bagi memperlengkapkan diri graduan supaya dapat terus bersaing di alam pekerjaan kelak. Inisiatif ini bagi menggalakkan seramai mungkin pelajar mengikuti program mobiliti sebelum menamatkan pengajian kerana universiti percaya pendedahan yang diperoleh di luar bilik kuliah seperti melalui program mobiliti akan memberikan pengalaman dan pengetahuan berguna kepada graduan.
Justeru itu, UUM melalui Inasis Petronas telah mengadakan satu program mobiliti pelajar tanpa kredit iaitu “International Mobility: UUM Discovery of Culture and Leadership to Indonesia” selama lapan hari di dua buah universiti terbaik Indonesia iaitu Universitas Indonesia (UI), Jakarta dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta. Program ini turut dihadiri oleh Pengetua Inasis Petronas, En. Muhammad Noor Fitri bin Ahmad, barisan Jawatankuasa Kepimpinan & Pembangunan Siswa, Residen Siswa dan Ketua Blok (JKPSRSKB) Inasis Petronas sesi 2022/2023 seramai 28 orang dan termasuk pegawai pengiring.
Objektif program mobiliti pelajar UUM ke Indonesia
Menurut Pengarah Program, Ardina Putri Syafeera, “program mobiliti ini adalah satu inisiatif Inasis Petronas untuk membuat satu penanda aras di dua top universiti di Indonesia iaitu UI dan UGM serta program ini diadakan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau di universiti mereka digelar sebagai Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) untuk menukar idea berkaitan kepimpinan di universiti masing-masing”.
“Kebanyakan barisan JKPSRSKB mahir dalam kepimpinan namun daripada aspek skil berkomunikasi dan cara mereka membawa diri di luar masih kurang. Oleh itu, saya menjalankan program mobiliti ke Indonesia ini bagi membentuk kenalan dan hubungan antarabangsa antara pelajar dari luar negara dan memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada JKPSRSKB berkaitan kepimpinan di inasis dan juga dalam universiti,” jelas beliau.
Lawatan ini dijalankan sebagai timbal balik kepada universiti-universiti di Indonesia yang pernah mengunjungi UUM. UI dan UGM menyatakan keterujaan mereka dan menerima lawatan daripada JKPSRSKB Inasis Petronas kerana objektif program ini seiring dan bersesuaian dengan jawatan mereka sebagai BEM.
Pelbagai aktiviti yang diadakan di UI dan UGM
Program mobiliti pelajar bersama pelajar Universitas Gadjah Mada
Kehadiran pihak Inasis Petronas disambut dengan baik oleh UI serta UGM dan pelbagai aktiviti telah dijalakan untuk meningkatkan skil kepimpinan barisan JKPSRSKB apabila pulang ke tanah air. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pembentangan program-program yang telah dilakukan oleh JKPSRSKB dan BEM, perbincangan dalam kumpulan, pengajaran kepimpinan, persidangan kepimpinan, dan lawatan kampus.
Tambahnya lagi, “pelbagai aktiviti yang telah kami jalankan semasa di sana dan salah satunya ialah persidangan kepimpinan serta pengajaran kepimpinan di UGM yang memberikan pendedahan mengenai perkongsian dan perbezaan mereka memimpin inasis serta universiti.” Lawatan kampus juga mampu memberikan pendedahan mengenai budaya dan dapat melihat keindahan universiti di Indonesia.
Aktiviti kepimpinan dan budaya dalam program mobiliti pelajar memainkan peranan penting kepada barisan JKPSRSKB Inasis Petronas dalam membantu pelajar mengurus pasukan, berkomunikasi dengan berkesan, membina hubungan dengan rakan-rakan dari seluruh dunia serta memperoleh pengalaman daripada individu dari pelbagai latar belakang, dan memperkaya pengetahuan dan perspektif mereka mengenai kepimpinan.
“Maklum balas daripada barisan JKPSRSKB mengatakan bahawa program ini sangat menarik kerana mereka dapat menambah kenalan dan pelbagai ilmu baru di UI dan UGM. Saya gembira mendengar maklum balas daripada rakan-rakan mengenai program mobiliti ini dan sememangnya sangat membantu mereka untuk menambah kenalan dan menariknya mereka selesa berkawan dengan pelajar dari Indonesia dan telah menjadi kawan sehingga kini,” katanya.
Program mobiliti pelajar ini dapat memberikan peluang yang sangat berguna untuk barisan JKPSRSKB Inasis Petronas mengeratkan lagi hubungan antara mereka serta mengenali dengan lebih mendalam supaya Inasis Petronas dapat diurus dan dipimpin dengan cemerlangnya. Pengalaman yang indah turut diperolehi mereka yang menyertai program mobiliti serta menambah ilmu berkaitan budaya dan corak kepimpinan daripada universiti yang lain.
Program mobiliti pelajar ke UI dan UGM turut menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Kedah sebanyak RM3,000 dan Paramount Property sebanyak RM1,000 untuk menjayakan program mobiliti ini dan memberikan impak positif kepada pelajar serta pihak yang memberikan sumbangan.
“Harapan saya bagi program mobiliti ini adalah bukan sahaja membawa barisan JKPSRSKB Inasis Petronas bahkan lebih ramai pelajar UUM untuk merasai pengalaman yang sama dan meluaskan lagi Memorandum Persefahaman (MoU) UUM ke peringkat antarabangsa untuk merancakkan lagi program dan aktiviti kolabrasi bersama universiti dari luar negara,” nyata hasrat Pengarah Program yang juga merupakan pelajar bagi pengajian undang-undang.
Barisan JKPSRSKB dan BEM mengadakan sesi foto bersama setelah selesai program mobiliti
Comments