top of page
Green Farm
Writer's picturebelurunews

Naik Taraf Fasiliti Kondusif Di Inasis Petronas

Updated: Jul 1

Oleh: Siti Zubaidah Binti Abdul Manaf

Bahagian Dalam ‘Student Longue’ Petronas


SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan statusnya sebagai institusi pengajian tinggi terkemuka dengan menyediakan fasiliti penginapan yang lengkap dan berkualiti tinggi. UUM terkenal bukan sahaja dengan landskapnya yang memukau tetapi juga dengan kemudahan penginapan yang direka untuk memastikan keselesaan dan kesejahteraan para pelajar.


UUM menawarkan penginapan yang dapat menampung para pelajar dari seluruh Malaysia dan antarabangsa. Penginapan di kampus ini, yang dikenali sebagai inapan siswa (INASIS), dilengkapi dengan kemudahan moden dan selesa. Antara inasis yang disediakan termasuk Inasis Petronas, Inasis Bank Muamalat, Inasis Mas, Inasis Bank Rakyat, Inasis Proton, dan banyak lagi.


Inasis Petronas: Strategik dan Selesa

Inasis Petronas merupakan salah satu inasis yang menawarkan pelbagai kelebihan kepada pelajar. Kedudukannya yang strategik berdekatan dengan Vmall menjadikannya pilihan yang ideal. Inasis ini telah melalui beberapa fasa penaiktarafan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Peningkatan ini meliputi mutu bilik tidur, kemudahan internet berkelajuan tinggi, bekalan air bersih, dan ruang belajar yang lebih selesa dan kondusif.


Kemudahan Lengkap dan Kondusif


‘Student Longue’ Inasis Petronas


Setiap bilik di Inasis Petronas menyediakan perabot asas seperti katil, meja belajar yang dilengkapi lampu belajar, kerusi, dan almari. Kemudahan lain termasuk bilik mandi bersih, dobi layan diri, ruang rehat dan kafe. Kemudahan dobi layan diri menyediakan pakej sabun dan pelembut pakaian percuma, dengan sistem pembayaran atas talian melalui imbasan kod memudahkan para pelajar untuk menggunakannya.


Inasis Petronas turut menyediakan parkir kenderaan yang tidak terhad, luas dan selamat untuk pelajar yang memiliki kenderaan sendiri. Parkir disediakan mengikut kategori seperti motosikal dan kereta, serta turut tersedia parkir khas berbumbung untuk kakitangan universiti.


Penambahan Sistem Tapisan Air Coway di Blok Kediaman

Sebelum ini Inasis Petronas hanya menyediakan bekalan air minuman dari water cooler sahaja, namun kini beberapa kemudahan sistem penapisan air Coway telah ditambah di kawasan kediaman pelajar. Kemudahan ini akan memastikan pelajar mendapat akses kepada bekalan air lebih bersih kerana sistem penapisan air Coway mampu memastikan kualiti air minuman yang lebih baik dan selamat buat para pelajar.


Vmall Tempat Utama Mendapatkan Barang Keperluan

Kedudukan Inasis Petronas yang berdekatan mini pasaraya UUM iaitu Vmall amat memudahkan pelajar Inasis tersebut membeli barangan keperluan harian. Jarak yang dekat dan hanya mengambil masa sekitar 5 minit untuk berjalan dari Inasis Petronas ke Vmall mampu membuatkan Inasis Petronas menjadi rebutan para pelajar di UUM berbanding Inasis lain yang memerlukan para pelajar menaiki pengangkutan bas untuk ke Vmall.


Vmall bukan sahaja mempunyai pasaraya yang menjual barang keperluan, namun turut mempunyai kedai makan, farmasi, dobi layan diri, kedai buku, kedai membaiki gajet serta perkhidmatan Bank Islam dari segi kemudahan Automated Teller Machine (ATM) dan Cash Deposit Machine (CDM) yang memudahkan pelajar Inasis Petronas menjalankan kehidupan seharian tanpa mereka perlu keluar dari kampus.


Student Lounge: Tumpuan Utama Pelajar

Inasis Petronas bukan sahaja menyediakan fasiliti dari segi sukan, malah turut mempunyai dua Student Lounge iaitu Student Longue Petronas, yang terletak di bawah penginapan pelajar sendiri, dan Student Longue Lavendar di bawah pengurusan UUM Information Technology (UUMIT), ia merupakan tempat tumpuan utama para pelajar menjalankan pelbagai aktiviti dan program termasuklah sidang media sewaktu minggu suai kenal (MSK) pelajar baharu.


Menurut Presiden Inasis Petronas sesi 2023/2024, Muhammad Asyraf Bin Mohd Fazil, keistimewaan utama Inasis Petronas terletak kepada kemudahan seperti bilik karaoke dan tempat permainan poll yang disediakan dalam Student Longue Petronas yang tidak dimiliki inasis yang lain. Student Longue Petronas bukan sahaja menjadi pusat aktiviti pelajar tetapi juga bilik serbaguna untuk para pelajar mengulang kaji.


Gerai Tok Abah di Inasis Petronas: Tarikan Pelajar dengan Masakan Asli Kelantan


Suasana Cafe Inasis Petronas

Gerai Tok Abah yang terletak di Inasis Petronas menjadi tumpuan utama para pelajar kerana menawarkan menu masakan autentik dari negeri Kelantan. Masakan seperti Nasi Kak Wok, Nasi Kukus, dan Nasi Kerabu telah berjaya menarik minat ramai pelajar, bukan sahaja dari Inasis Muamalat tetapi juga dari inasis-inasis lain seperti Inasis Bank Rakyat dan Inasis SME yang berada di luar kampus.


Salah satu sebab utama Gerai Tok Abah mendapat sambutan hebat adalah kerana kualiti makanan yang tinggi serta harga yang berpatutan. Ini menjadikannya pilihan utama bagi para pelajar yang mencari makanan enak dengan bajet yang sesuai. Dengan rasa yang autentik dan penyediaan yang teliti, hidangan di Gerai Tok Abah menawarkan pengalaman gastronomi yang mengingatkan pelajar pada masakan kampung halaman mereka.


Menurut Nurul Nabilah Wahab seorang pelajar tahun satu, “Nasi kerabu di Gerai Tok Abah sangat berbeza dengan Nasi Kerabu yang dijual di tempat lain kerana harga yang murah dan semestinya sedap, Warung Tok Abah bukan sahaja menyajikan masakan Asli Kelantan tetapi turut menyediakan Nasi Lemak dan Nasi Ayam Masak Merah yang menjadi pilihan utama pelajar di Inasis Petronas.”


Naik Taraf Fasiliti Sukan dan Rekreasi

Kini, Inasis Petronas dalam proses naik taraf kemudahan sukan seperti gelanggang futsal, bola jaring dan takraw. Kemudahan sukan bukan sahaja digunakan untuk mengisi masa lapang malah dapat menyokong pelajar mengamalkan gaya hidup yang sihat. Kemudahan ini juga mampu membantu meningkatkan mutu pencapaian atlet dan memupuk jiwa kesukanan yang tinggi kepada pelajar Inasis Petronas.


Proses Penurapan Dataran Ilmu Inasis Petronas

Inasis Petronas juga sedang melalui proses penambahbaikan infrastruktur yang signifikan, termasuk penurapan Dataran Ilmu. Proses penurapan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan keselamatan kawasan tersebut, menjadikannya lebih selesa dan kondusif untuk pelajar. Dataran Ilmu sering digunakan sebagai tempat pertemuan, acara rasmi, dan aktiviti luar kelas. Penurapan baru ini memastikan permukaan yang rata dan bebas dari genangan air dan memudahkan pelajar untuk berkumpul dan beraktiviti tanpa gangguan.


Penurapan Dataran Ilmu juga akan menyediakan ruang yang lebih estetik dan kemas, menambah nilai visual kepada keseluruhan kawasan inasis. Proses ini melibatkan penggunaan bahan berkualiti tinggi dan teknik penurapan terkini untuk memastikan ketahanan dan keberkesanan jangka panjang. Setelah siap, Dataran Ilmu akan menjadi tempat yang lebih menarik dan fungsional untuk pelbagai acara dan aktiviti pelajar.


Harapan Presiden Inasis Petronas

Presiden Inasis Petronas, Muhammad Asyraf Bin Mohd Fazil, menyatakan bahawa semua penambahbaikan ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan pengetua, kakitangan, dan organisasi kediaman pelajar. Diharapkan kemudahan yang telah diperbaharui ini dapat digunakan dengan baik dan berhemah, agar mampu dinikmati dalam jangka masa panjang.


Dengan semangat kerjasama dan sokongan berterusan, Inasis Petronas akan terus menyediakan kemudahan yang terbaik untuk kesejahteraan pelajarnya, bagi memastikan mereka mempunyai pengalaman kampus yang paling bermakna dan berharga.

























4 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page