top of page
Green Farm
Writer's picturebelurunews

Program 'Career Talk' Inasis Petronas Bantu Pelajar Jelajah Alam Kerjaya

Updated: Jul 1

Oleh: Nurul Jannah Binti Yusoff

Penceramah, Ahmad Syazli Bin Abd Halim (dua dari kiri) bersama Felo dan JKPS Inasis Petronas serta para penonton


SINTOK - Kerjaya memainkan peranan penting dalam kehidupan setiap individu. Bagi pelajar universiti, merancang kerjaya dengan teliti adalah kunci untuk menghadapi dunia kerja yang semakin mencabar.


Perancangan kerjaya membantu pelajar memahami dan mengembangkan kemahiran yang diperlukan dalam industri pilihan mereka. Ia membuka peluang untuk mengenal pasti sektor yang sedang berkembang pesat dan pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi.


Namun, dunia kerja penuh dengan cabaran. Persaingan sengit di kalangan masyarakat memerlukan pelajar mempunyai kelebihan tersendiri. Pelajar perlu membina rangkaian profesional yang kukuh dan terlibat dalam aktiviti yang dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka.


Kegagalan merancang kerjaya boleh membawa implikasi yang serius. Pelajar mungkin mendapati diri mereka kurang bersedia untuk dunia kerja dan sukar mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka. 


Ceramah atau forum yang berkaitan dengan kerjaya dapat membantu pelajar UUM untuk meningkatkan kebolehpasaran diri masing-masing apabila melangkah ke alam kerjaya suatu hari nanti.


Justeru, program “Career Talk” yang menampilkan dua penceramah berprofil tinggi untuk berkongsi pengalaman dan pandangan mereka mengenai perancangan kerjaya, telah dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inasis Petronas baru-baru ini. 


Menurut Pengarah Program, Nur Iman Safiyyah, program ini bertujuan untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar UUM untuk mempersiapkan diri dengan perancangan yang rapi bagi melangkah ke dunia kerjaya yang penuh dengan cabaran.


Penceramah, Ashura Shuhada Bte Azizan (dua dari kiri) bersama Pengetua, Felo dan  JKPS Inasis Petronas serta para penonton


"Ceramah berkaitan kerjaya amat penting bagi memupuk kesedaran dalam diri pelajar tentang kepentingan perancangan kerjaya yang rapi serta dapat membangkitkan rasa minat mereka dalam merangka strategi untuk mencapai matlamat kerjaya masing-masing," tambahan beliau lagi.


Antara penceramah yang dijemput ialah salah seorang Pakar Pengambilan di RHB, Ashura Shuhada Bte Azizan. Beliau berkongsi tentang kepentingan etika kerja dan bagaimana untuk berjaya dalam industri korporat. "Kerjaya yang cemerlang memerlukan dedikasi dan etika kerja yang tinggi," jelas beliau.


Beliau turut mendedahkan tentang proses pengambilan pekerja di RHB, dari pencarian bakat hingga pemilihan calon yang terbaik. Pelajar diberikan gambaran jelas tentang apa yang diharapkan oleh majikan dalam industri perbankan.


Penceramah seterusnya merupakan seorang Penolong Pengarah Agensi (ADOA) di Prudential iaitu Ahmad Syazli Bin Abd Halim,turut berkongsi pengalaman beliau dalam bidang insurans dan kewangan. Beliau menekankan kepentingan kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan dalam industri ini. 


“Di Prudential, kami menghargai graduan yang bukan sahaja mempunyai pencapaian akademik yang baik, tetapi juga kebolehan untuk bekerja dalam pasukan dan berkomunikasi dengan berkesan,” ujar Ahmad Syazli.


Selain itu, Ahmad Syazli memberikan pendedahan tentang struktur kerja di Prudential dan bagaimana syarikat tersebut memberi sokongan kepada pekerjanya untuk berkembang dalam kerjaya. Beliau berkongsi tentang pelbagai peluang latihan dan pembangunan profesional yang ditawarkan oleh Prudential kepada kakitangannya.


Pelajar yang hadir turut berpeluang mengemukakan soalan kepada kedua-dua penceramah, yang menjawab dengan terperinci dan memberi nasihat berdasarkan pengalaman mereka.


Program “Career Talk” ini adalah salah satu daripada acara sempena Pesta Anak Utaqa yang dianjurkan oleh JKPS Inasis Petronas yang dijalankan dari 24 April hingga 27 April 2024.


Pesta Anak Utaqa juga menampilkan rangkaian aktiviti menarik yang lain seperti pameran kerjaya, gerai vendor, persembahan busking dan banyak lagi. Pesta ini mendapat sambutan hangat daripada pelajar UUM dan pengunjung di sekitar Sintok.


Program ini mendapat respons yang positif di kalangan pelajar UUM tidak kira dari pelbagai inasis dan fakulti lalu memupuk mereka untuk sentiasa bersedia menghadapi cabaran di alam kerjaya nanti.

















6 views0 comments

Comments


bottom of page