Oleh: Umie Zulaika A Mustaffa
En. Fitri sewaktu sesi temu ramah di bangunan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM
SINTOK - Dalam sebuah perjalanan yang menarik dan inspiratif, En. Mohd Noor Fitri bin Ahmad, 34, telah menjalani perubahan peribadi dan profesional yang mengagumkan sepanjang setahun beliau berkhidmat sebagai Pengetua Inasis Petronas Universiti Utara Malaysia (UUM). Lahir dari latar belakang sederhana, beliau yang mesra dipanggil sebagai En. Fitri mengukir namanya dengan keunikan dan kesungguhan yang luar biasa.
Latar Belakang dan Pendidikan Awal
Merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik, En. Fitri merupakan anak kepada pesara kerani Telekom Malaysia (TM), beliau telah mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh di negeri kelahiran beliau iaitu Selangor Darul Ehsan lalu menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2007 di Sekolah Menengah Agama Batu 10, Hulu Langat, Cheras.
Berbekalkan sijil SPM, semangatnya untuk terus belajar membawanya ke peringkat yang lebih tinggi untuk mendapatkan sijil diploma dalam bidang pemasaran di Politeknik Sultanah Bahiyah di Kulim, Kedah.
Namun, cita-citanya tidak berhenti di situ. Keinginannya untuk menuntut ilmu telah membawanya ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kaunseling.
Mengukir Karier Awal
Kesungguhan beliau untuk terus meningkatkan taraf kerjaya beliau tidak pernah berhenti walaupun hanya bergelar guru ganti di awal karier beliau. Karier sebagai guru ganti memberikan peluang kepada beliau untuk lebih mengenali masyarakat terutamanya golongan yang bergelar pelajar dengan lebih mendalam.
Daripada guru ganti bertukar sebagai pegawai bank di Kelana Jaya kemudian beralih menjadi pegawai kebajikan atau kaunselor di sebuah kolej swasta iaitu ICAN di Pandan Jaya pada tahun 2016. Pengalaman sebagai kaunselor telah menjadi penyebab En. Fitri terus melibatkan diri dalam dalam bidang psikologi sehingga kini.
Permulaan Kehidupan Awal di UUM
Panggilan untuk memperkayakan ilmu terus menghantarnya ke Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas setahun berkhidmat di Kolej ICAN, di mana beliau memulakan perkhidmatannya sebagai pegawai psikologi.
Sebagai seorang yang amat mendahagakan ilmu, beliau mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang psikologi (pengkhususan kesihatan mental) pada tahun 2020 secara separuh masa.
Pada awal perkhidmatan beliau di UUM, beliau menggalas tanggungjawab sebagai felo bagi Inasis Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama enam tahun.
Perjalanan sebagai Pengetua Inasis Petronas
Dilantik sebagai Pengetua Inasis Petronas dan Sime Darby pada Mei 2023, En. Fitri membawa semangat yang segar dan pendekatan yang unik kepada peranan barunya. Beliau dipertanggungjawabkan untuk menjadi pengetua bagi kedua-dua inasis sehingga Disember 2023. Kini, inasis Petronas menjadi satu-satunya inasis dibawah jagaan En. Fitri.
Kebolehannya untuk berhubung amat pelajar dengan mudah dan sikapnya yang ceria disenangi pelajar Inasis Petronas. Beliau adalah seorang yang mementingkan hubungan baik dengan pelajar.
Pendekatan ini membolehkan beliau membentuk pemerkasaan pelajar dalam inasis Petronas. Pemerkasaan pelajar dijadikan penanda aras oleh En. Fitri bagi mewujudkan komuniti pelajar yang mampu untuk membawa Inasis Petronas ke arah kejayaan pelbagai peringkat sama ada dalaman atau luaran.
Antara kejayaan yang membuahkan hasil daripada usaha beliau mewujudkan pemerkasaan pelajar adalah program ‘UUM Discovery of Culture and Leadership to Indonesia’ pada tahun 2023 dan ‘Program International Mobility to South Korea’ pada March 2024.
Hasil yang baik dari program-program ini menandakan komitmen En. Fitri dalam memupuk pemerkasaan dan pembangunan pelajar di Inasis Petronas, serta memberikan pengalaman berharga yang meluas di peringkat antarabangsa kepada pelajar.
Di bawah kepimpinan terkini En. Fitri, pencapaian yang paling menonjol dalam usaha pemerkasaan pelajar adalah kejayaan pelaksanaan Program Pesta Anak Utaqa yang digerakkan oleh Jawatankuasa Kepimpinan Pelajar dan Residen Siswa (JKPSRS) serta pelajar Inasis Petronas UUM. Kejayaan program ini mencerminkan tidak hanya kemampuan organisasi yang kukuh, tetapi juga kematangan kepimpinan yang dipupuk di kalangan pelajar. Dalam jalinan kerjasama yang padu, pelbagai aktiviti yang digerakkan oleh pelajar di bawah arahan En. Fitri telah memberikan impak yang positif dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang dinamik dan inklusif di Inasis Petronas.
Selain itu menurut salah seorang salah seorang ahli JKPSRS Petronas UUM, Zafarul Amir, En. Fitri adalah seorang yang sanggup berkorban dalam pelbagai aspek sama ada fizikal atau mental untuk kemajuan inasis Petronas.
Perancangan Masa Hadapan
Antara cabaran terbesar En. Fitri sebagai pengetua adalah beliau dilantik sewaktu kontrak syarikat Petronas bersama Inasis Petronas hampir tamat. Imej petronas yang dibawa selama ini telah menjadi satu jenama yang kuat dalam UUM. Oleh itu, beliau bersama pihak pengurusan sedang berusaha untuk meyakinkan syarikat petronas untuk kesinambungan bersama inasis di bawah jagaan beliau.
Selain itu, matlamat utama beliau adalah memastikan setiap pelajar Inasis Petronas dapat menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang. Beliau berazam untuk terus memperkukuh kebajikan pelajar sambil meningkatkan pembangunan Inasis Petronas secara holistik.
Dengan memiliki semangat dan komitmen yang tinggi, En. Fitri dapat mengukuhkan kedudukan Inasis Petronas sebagai sebuah komuniti yang dinamik dan berjaya di kalangan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.
En. Fitri (tengah) sewaktu majlis perasmian Alumni Run: Let’s Reunite Together bersempena Pesta Anak Utaqa
댓글