top of page
Green Farm
Writer's picturebelurunews

Kolaborasi Antarabangsa UUM Promosi Kepelbagaian Budaya

Updated: Jul 1

Oleh: Wan Dania Shahira Wan Jamsari

Dr. Chadchom, wakil Hatyai University (ke-11 dari kanan) bersama para peserta program


SINTOK – Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa, Residen Siswa dan Ketua Blok (JKPSRSKB) dan Biro Integrasi, Komuniti, dan Antarabangsa (IKA) Inasis Petronas telah menjalankan program Mobility Inbound 1st: Malaysia-Thailand-Indonesia yang julung kalinya pada Disember lalu bagi mempromosikan kepelbagaian budaya antara ketiga-tiga negara. 


Seramai 60 orang pelajar pelajar UUM, pelajar Indonesia yang mewakili International Student Society (ISS), serta pelajar Hatyai University terlibat dalam program hibrid selama dua minggu. 


Menurut Timbalan Pengarah Program, Tun Amir Adlan, pengajaran program ini adalah untuk menaikkan nama UUM di persada dunia dan dapat bertukar budaya antara pelajar UUM dan pelajar dari Hatyai University. Para pelajar juga dapat mempelajari tentang budaya ketiga-tiga negara tersebut dari segi kesenian dan kebudayaan, makanan tradisional, sukan, serta bahasa dalam kalangan pelajar UUM dan pelajar Hatyai University.


Sesi bersemuka dirasmikan oleh Pengurus Bahagian Pembangunan Pelajar (B2P), Puan Juhaina Che Juhari di Dewan Inasis Muamalat. Menurut beliau, program ini diharapkan dapat menguatkan lagi hubungan antara kedua-dua universiti yang terjalin. 


Turut hadir bagi memeriahkan lagi program pada majlis perasmian itu ialah wakil Hatyai University, Dr. Chadchom Ratsameemonthon, serta Pengetua Inasis Petronas, Encik Muhammad Fitri.


Dr. Chadchom, wakil Hatyai University (kedua dari kanan) menerima saguhati daripada pihak UUM

Terdapat banyak aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang hari perasmian berlangsung. Antaranya, persembahan, pertukaran makanan tradisional dan pertukaran permainan tradisional.


Bagi pertukaran makanan, wakil UUM menyediakan banyak juadah makanan Malaysia untuk dikongsikan kepada pelajar-pelajar luar. Sebagai contoh, nasi hujan panas, kuih seri muka, dan banyak lagi. Wakil Hatyai University pula menghidangkan makanan dari negara Thailand untuk dikongsi bersama-sama pelajar UUM.


Sesi pertukaran permainan tradisional juga tidak kurang hebatnya. Aktiviti ini dijalankan dalam kumpulan yang mencampurkan pelajar-pelajar dari kedua-dua universiti tersebut. Antara permainan yang dijalankan pada hari tersebut adalah Terompah Panjang. Ujar salah seorang peserta program, beliau terhibur melihat gelagat pelajar-pelajar dari Hatyai University yang kagum melihat terompah panjang tersebut kerana mereka tidak memilikinya di negara mereka. Permainan congkak juga diadakan dalam sesi tersebut. 


Pelajar bermain permainan tradisional Malaysia, Congkak


Persembahan kebudayaan turut diadakan oleh Bidasari dan Citra Malten serta persembahan oleh wakil pelajar Indonesia iaitu Tarian Kipas.


Sepanjang dua minggu pertemuan secara atas talian, aktiviti yang dijalankan adalah sesi perkongsian tentang kemudahan yang ada di universiti masing-masing dan pertukaran ilmu dari segi perbezaan dialek yang ada di Thailand. Hal ini sedikit sebanyak dapat menambahkan pengetahuan pelajar tentang persekitaran dan pembelajaran yang ada di Thailand.


Program mendapat maklum balas yang positif daripada para pelajar. Melalui program ini, mereka dapat mempelajari dan merasai sendiri kepelbagaian budaya yang ada diantara ketiga-tiga negara tersebut.


Menurut Tun Amir Adlan lagi, program ini membawa kesan yang positif kepada semua pihak terutamanya nama UUM sempena ulang tahun ke-40, selain mempromosikan kepelbagaian budaya, serta menjalinkan hubungan yang akrab dengan pelajar dari pelbagai etnik dan bangsa. 














2 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page