Oleh: Wan Dania Shahira Binti Wan Jamsari
Wakil Penari Inasis Petronas bersama-sama penasihat Biro Kesenian dan Kebudayaan, Dr. Khairina (bawah kiri)
SINTOK - Kesenian dan kebudayaan merupakan elemen penting dalam membentuk individu yang berkualiti. Budaya yang pelbagai dari bermacam-macam bangsa dan etnik di seluruh negara menjadikan aspek kesenian dan kebudayaan menjadi istimewa dan unik untuk dipelajari. Dengan mempelajari dan mendalami kesenian dan kebudayaan, individu dapat memperoleh pelbagai manfaat, seperti memupuk kesepaduan antara kaum dan banyak lagi.
Latar Belakang Inasis
Inasis Petronas merupakan sebuah inasis yang dikenali ramai dengan kehebatan dalam penganjuran sesebuah program di UUM. Selain itu, inasis ini juga terkenal dengan keunggulan biro kesenian dan kebudayaan mereka yang sentiasa bergiat aktif.
Objektif Biro Kesenian dan Kebudayaan
Biro Kesenian dan Kebudayaan (BKK) Inasis Petronas memfokuskan kepada pembangunan bidang seni dan budaya dalam kalangan pelajar. BKK turut mempromosikan kepelbagaian tradisional etnik yang ada di Malaysia dengan menganjurkan pertandingan dan persembahan.
Biro ini diketuai oleh Foo Zhi Xuan dan dibantu oleh Muhammad Amir Haziq serta mempunyai ahli seramai 20 orang. Dr. Khairini binti Muhammad Husin juga merupakan penasihat bagi biro ini.
Wakil Inasis Petronas dalam pertandingan Tarian Rentak Madani semasa University Cultural Festival (UCF) bersama-sama Zhi Xuan (bawah kanan) dan Amir Haziq (paling kiri)
Pencapaian yang Diperoleh Biro
Antara pencapaian biro ini ialah mereka telah mengadakan pertunjukan fesyen di Retro Fiesta pada Disember lalu. Program ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada kalangan pelajar. Pertunjukan fesyen ini juga bertemakan pakaian tradisional di Malaysia.
Inasis Petronas telah menghantar seorang wakil bagi menyertai pertandingan nyanyian tradisional di Festival Inasis TNB. Wakil tersebut berjaya merangkul johan dalam pertandingan itu dengan mempersembahkan nyanyian lagu Harapan Kecewa. Persembahan beliau yang hebat berjaya memikat hati juri dan penonton yang hadir.
Disamping itu, biro ini berjaya menyediakan kemudahan yang kondusif kepada pelajar Inasis Petronas dengan menyediakan bilik tarian dan bilik karaoke untuk digunakan bagi latihan tarian dan nyanyian. Pelajar juga menggunakan kemudahan tersebut untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan.
Inasis Petronas juga telah menghantar beberapa wakil dalam menyertai pertandingan University Cultural Festival (UCF) yang dianjurkan baru-baru ini. Wakil Inasis Petronas, Auranzel, berjaya mendapat johan dan vokal terbaik dalam pertandingan nyanyian solo. Beliau telah mempersembahkan lagu Harapan Kecewa dalam pertandingan tersebut.
Selain itu, Inasis Petronas juga telah menghantar sebuah kumpulan penari untuk pertandingan Tarian Rentak Madani dalam UCF baru-baru ini. Wakil-wakil Inasis, Aqil, Farrah, Jess, Nurdiana, Asniera berjaya mendapat naib johan dalam pertandingan tersebut dengan mempersembahkan tarian yang menggabungkan 6 buah lagu yang berlainan etnik.
Kumpulan nasyid seramai 5 orang lelaki yang mewakili Inasis Petronas dalam pertandingan UCF juga tidak kurang hebatnya. Mereka telah memenangi busana terbaik dalam pertandingan tersebut dengan segak memperagakan pakaian tradisional yang seragam.
Wakil kumpulan nasyid Inasis Petronas semasa University Cultural Festival (UCF)
Pendorong Semangat
Disebalik pencapaian yang diperoleh, pasti ada tulang belakang yang sentiasa memberi semangat. Pengetua Inasis, Encik Muhammad Fitri juga giat dalam memberi sokongan. Beliau turut memberi tunjuk ajar dalam memastikan biro ini terus unggul serta membantu dalam mencari peralatan muzik untuk persembahan. Beliau juga berusaha dalam mencari jurulatih yang handal bagi latihan nasyid di inasis tersebut.
BKK juga mempunyai tenaga pengajar dalam kalangan pelajar. Tenaga pengajar yang berbakat melatih wakil inasis dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan. Tenaga pengajar ini juga melatih wakil inasis bagi mempersembahkan persembahan yang mantap untuk UCF.
Disamping itu, sokongan yang padu dari para pelajar Inasis Petronas juga menjadi penguat semangat bagi wakil-wakil Inasis dalam beroleh keunggulan dalam bidang kesenian dan kebudayaan.
Perspektif Umum
Menurut Zhi Xuan sebagai Ketua Exco, pihak BKK dan wakil Inasis juga menunjukkan enthusiasm yang jitu dalam menaikkan nama Inasis. Walaupun berdepan dengan jadual kelas yang padat, tetapi mereka tetap menunjukkan kesungguhan dengan menyediakan latihan bagi memantapkan persembahan serta mengasah lagi kebolehan mereka dalam bidang tarian dan nyanyian mereka.
Harapan di Masa Hadapan
Sebagai Ketua Exco, Zhi Xuan berharap agar Inasis Petronas dapat memenangi lebih banyak pertandingan kesenian dan kebudayaan disamping dapat menghasilkan lebih ramai wakil Inasis yang berbakat dalam bidang tersebut.
Yorumlar