top of page
Green Farm
Writer's picturebelurunews

Kempen Derma Darah Siswa Sihat

Updated: Jul 2

Oleh: Athirah Kamalia Binti Azha


Persiapan sebelum kempen derma darah dimulakan


SINTOK- Pada tahun 2021, dilaporkan stok darah di Pusat Darah Negara (PDN) serta tabung darah di seluruh negara berkurangan walaupun permintaan terhadapnya semakin meningkat. Setiap hari, negara memerlukan sekurang-kurangnya dua ribu beg darah untuk menampung kegunaan kira-kira seribu pesakit. Namun kini, PDN hanya mencapai bekalan darah untuk empat atau lima hari sahaja.


Menurut Pakar Perubatan Transfusi dan Ketua Seksyen Bahagian Perolehan Darah, Dr Thane Moze, beliau amat menggalakkan pendermaan darah daripada semua kumpulan darah. Untuk memastikan bekalan darah mencukupi, PDN telah mengambil inisiatif dengan mengadakan program pengambilan perkhidmatan ‘pick up’ yang memudahkan pergerakan penderma yang menghadapi masalah untuk hadir menderma darah di pusat statik dan PDN.


Inisiatif program pengambilan perkidmatan ‘pick up’ ini diharap dapat meningkatkan jumlah penderma darah dan memastikan bekalan darah mencukupi. Dengan bekalan darah yang mencukupi, PDN dapat menyediakan stok darah untuk situasi kecemasan.


Punca utama seseorang memerlukan pendermaan darah adalah disebabkan pendarahan yang banyak selepas kemalangan, merawat pesakit leukimia, talasemia, komplikasi semasa bersalin dan lain-lain. Kehilangan darah boleh menjejaskan organ dalaman dan membuatkan pendarahan menjadi lebih serius.


Dari sudut kesihatan, pendermaan darah merangsang badan untuk menghasilkan sel-sel darah yang baru. Sel-sel darah baru ini lebih berupaya untuk membawa oksigen ke seluruh badan. Penderma darah akan lebih sihat dan segar selepas menderma darah.


Satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa yang memerlukan. Ketika seseorang menderma darah, sumbangan itu bukan sekadar cecair merah yang beharga, tetapi dapat memberi harapan baru kepada penerima-penerima yang memerlukannya. Kesedaran mengenai kepentingan pendermaan darah perlu diterapkan dalam kalangan pelajar universiti sebagai generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan. 


Individu yang aktif dalam pendermaan darah akan diberi kelebihan berdasarkan rekod dari kad derma darah. Individu yang mencapai bilangan tertentu dalam pendermaan darah akan memperoleh kemudahan rawatan percuma seperti rawatan pesakit luar, wad percuma, suntikan pencegah Hepatitis B, dan banyak lagi kemudahan percuma lain.


Baru-baru ini, Inasis Petronas telah menganjurkan kempen derma darah merangkumi Festival Siswa Sihat yang diadakan tiga hari berturut-turut sepanjang festival berlangsung. Penganjuran kempen derma darah ini merupakan kolaborasi Inasis Petronas bersama unit kesihatan Klinik Kubang Pasu. Festival ini diadakan di ‘student lounge’ Inasis Petronas yang dijalankan dari 23 hingga 25 Mei bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang. 


Lokasi kempen derma darah


Menurut pengarah program Zafran Azfar, kempen derma darah ini merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan bekalan darah tempatan seterusnya membantu pesakit yang memerlukan. Selain itu, kempen derma darah ini bertujuan bagi memastikan hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan mempunyai inventori yang mencukupi dan konsisten untuk memenuhi keperluan pesakit.


“Kempen derma darah ini bertujuan menyelamatkan nyawa dengan menyediakan talian hayat kepada mereka yang dalam keadaan perubatan kritikal. Di samping itu, kempen ini juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menderma darah untuk menyelamatkan nyawa.” Tambah Zafran Azfar lagi.


Menurut jururawat yang bertugas, penderma perlu mengambil makanan berat dan tidur melebihi lima jam untuk melayakkannya turut serta dalam pendermaan darah. Hal ini demikian kerana, kesihatan fizikal penderma amat dititikberatkan sebelum menderma. Setelah selesai melakukan pendermaan darah, penderma mungkitt berasa penat dan hampir pitam.


Sebelum proses menderma darah, penderma diminta untuk mengisi borang pendaftaran dengan butiran peribadi serta maklumat kesihatan. Kemudian, berat badan penderma ditimbang, dan pemeriksaan ringkas seperti mengukur tekanan darah, denyutan nadi, suhu badan, serta tahap hemoglobin dalam darah diperiksa. Penderma yang tidak melepasi syarat tidak dibenarkan menderma.


Setelah selesai, penderma akan berbaring di kerusi khas dan darah akan diambil dari salur darah pada lengan. Jumlah darah yang diambil daripada penderma biasanya sekitar empat ratus lima puluh mililiter (ml) atau bersamaan dengan 0.45 liter. Kuantiti darah ini adalah selamat bagi orang dewasa yang sihat. Proses ini mengambil masa sekitar 10-15 minit.


Saudari Ainnur, seorang pelajar dari Inasis Sime Darby yang hadir ke kempen derma darah berkenaan berkata bahawa dia tertarik untuk turut serta dalam menderma darah kerana ganjaran ‘goodies’ yang disediakan oleh pihak Klinik Kesihatan Kubang Pasu kepada penderma. “Ini merupakan pengalaman pertama saya menderma darah. Saya berpendapat penyediaan ‘goodies’ oleh pihak kesihatan kepada penderma adalah satu langkah yang baik untuk menarik minat orang ramai untuk menderma.” katanya.


Peserta yang turut hadir menderma darah


Manakala dua rakan baik dari inasis Misc, saudari Maisara dan saudari Suhada pula berkata, “Pada mulanya, kami tidak tertarik untuk menderma darah kerana kami berdua tidak pernah terlibat dalam pendermaan darah akan tetapi kami tertarik untuk turut menderma disebabkan sikap kakitangan Klinik Kesihatan Kubang Pasu yang mesra dan mengalu-alukan kedatangan kami.” jelas mereka.


“Ibu saya merupakan seorang jururawat dan saya telah diberi pendedahan sejak awal tentang ramai pesakit yang memerlukan darah untuk kelangsungan hidup mereka. Tujuan saya hadir pada hari ini adalah untuk menyumbang darah kepada mereka yang memerlukan.” Ujar pelajar dari Inasis BSN, Sufian ketika ditanya apakah faktor yang mendorongnya untuk menyertai kempen derma darah yang dianjurkan tersebut.


Selaku pelajar dari inasis Petronas, Hakimi Naqiuddin berharap supaya lebih ramai yang sedar dan secara sukarela menderma darah. “Saya berharap unit kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia lebih kerap turun padang untuk memberi kesedaran berkenaan kepentingan menderma darah kepada masyarakat.” katanya.


Kempen derma darah ini tamat pada 25 Mei, pukul lima petang dan masih mendapat sambutan pada saat-saat akhir. Kempen ini diharap dapat meningkatkan kesedaran berkenaan kepentingan pendermaan darah kepada orang ramai.












10 views0 comments

Recent Posts

See All

コメント


bottom of page