top of page
Green Farm
Writer's picturebelurunews

Kaunselor UUM Kongsi Info Kesihatan Mental Bersama JKPS Inasis Petronas

Updated: Jul 1

Oleh: Chan Yu Qian

Para peserta duduk secara berkumpulan untuk menjalani ujian psikologi


SINTOK – Kaunseling ialah proses profesional kaunselor membantu individu mengatasi isu-isu peribadi, sosial, akademik, atau emosional melalui perbincangan yang amanah dan terbuka. Ia penting kerana menyediakan sokongan emosional, meningkatkan pemahaman diri, menyelesaikan konflik, dan menyokong pembangunan diri. Kaunseling menjelajah minda sejahtera dengan memberikan sokongan masalah, membantu perubahan positif, mengurangkan stigma kesihatan mental, dan menggalakkan keseimbangan hidup. Melalui kaunseling, individu mencapai kesejahteraan mental dan emosional yang lebih baik, penting untuk kebahagiaan dan kesihatan jangka masa panjang.


Pusat Kaunseling, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Jelajah Minda Sejahtera di Dewan Independent Living Centre (ILC), Inasis Petronas, UUM, baru-baru ini. Seramai enam kaunselor pelatih UUM hadir berkongsi pengetahuan tentang kesihatan mental bersama 22 orang JKPS, Inasis Petronas.


Tidak dapat disangkalkan bahawa kesihatan mental merupakan aspek yang penting dalam kehidupan setiap individu, terutama dalam kalangan mahasiswa. Terdapat peningkatan kes yang melibatkan kesihatan mental di kalangan pelajar, di mana ramai antara mereka tidak meminta bantuan dan malangnya ada yang mengambil langkah ekstrem sehingga meragut nyawa mereka sendiri. 


Justeru, program Jelajah Minda Sejahtera bertujuan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai kesihatan mental di kalangan mahasiswa serta memberikan akses kepada perkhidmatan kaunseling yang berkualiti dan secara percuma kepada komuniti kampus.


Felo Inasis Petronas, Encik Mohd Fadzli Bin Suhaimi menyeru peserta agar mengambil berat tentang isu kesihatan mental di kalangan mahasiswa. Beliau berkata, pada masa ini, ramai pelajar menghadapi masalah kesihatan mental tetapi mereka cenderung untuk merahsiakannya. 


“Lagi pun, sebagai wakil inasis, JKPS perlu menjalankan tanggungjawab dan kerja yang berkaitan dengan program inasis disamping fokus kepada isu akademik"ujarnya.


Penerangan penubuhan dan perkhidmatan Unit Kaunseling UUM

Unit Kaunseling adalah suatu unit atau jabatan dalam institusi seperti universiti atau organisasi yang menyediakan sokongan dan bantuan psikologi kepada individu yang memerlukan. Di UUM, Unit Kaunseling memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental dan emosional pelajar serta kakitangan.


“Unit Kaunseling merupakan satu badan di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, yang ditubuhkan pada tahun 1984. Pada 11 Oktober 1998, statusnya telah dinaikkan menjadi Pusat Kaunseling dan Kerjaya,” jelas Kaunselor Pelatih, Cik Nurul Husna binti Mohamad Marzuki.


“Transformasi ini menjadikan aktiviti Pusat Kaunseling dan Kerjaya lebih terfokus dan mampu menjalankan peranan yang lebih luas dari segi perkhidmatannya,” tambah beliau lagi “Unit Kaunseling UUM menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti kaunseling individu, kaunseling berkumpulan, perkhidmatan krisis, perundingan, dan latihan serta pengukuran psikologi. Semuanya adalah percuma kerana kami ingin membantu kakitangan dan pelajar di UUM,” katanya. 


Perkongsian Info Kesihatan Mental


Sesi perkongsian bersama Kaunselor pelatih UUM, Cik Nurul Husna binti Mohamad Marzuki


Kaunselor Petatih, Cik Nurul Husna binti Mohamad Marzuki turut berkongsi pendapat mengenai faktor berlakunya kesihatan mental, kesan kesihatan mental serta langkah membendungi isu kesihatan mental. 


Faktor kesihatan mental melibatkan faktor genetik, persekitaran, psikologi, dan sosial yang mempengaruhi kesejahteraan mental seseorang. Keturunan dan ketidakseimbangan kimia otak juga merupakan faktor genetik yang dapat memainkan peranan dalam kesihatan mental, sementara tekanan hidup, trauma, dan persekitaran yang tidak sihat merupakan faktor persekitaran yang signifikan,” katanya.


“Corak pemikiran negatif dan ketidakupayaan mengatasi tekanan boleh menjejaskan kesihatan mental. Implikasi daripada kesihatan mental yang terganggu merangkumi kesan pada kesejahteraan fizikal, prestasi akademik dan kerjaya, hubungan interpersonal, dan kualiti hidup secara keseluruhan,” tambahnya lagi.


Bagi mengatasi masalah kesihatan mental, langkah-langkah seperti mendapatkan sokongan profesional, mengekalkan gaya hidup sihat, mengurus tekanan, membangun sokongan sosial, dan meningkatkan kesedaran amatlah penting. Melalui pendekatan, individu dapat mencapai kesejahteraan mental yang lebih baik, yang menjadi asas bagi kebahagiaan dan kesejahteraan untuk jangka masa panjang.” ujar beliau.


Perjalanan Ujian Psikologi

Ujian psikologi adalah ujian yang direka untuk mengukur pelbagai aspek psikologi seseorang, termasuk personaliti, kecerdasan, dan gangguan mental. Ujian ini sering digunakan oleh ahli psikologi, kaunselor, dan profesional kesihatan mental yang lain untuk membantu dalam diagnosis, pemahaman, dan pengembangan pelan rawatan.


Peserta dibahagikan kepada kumpulan bagi menjalani ujian psikologi berbeza-beza seperti ujian personaliti untuk menilai pelbagai aspek personaliti dan ujian psikopatologi untuk menilai tahap keparahan kemurungan pada seseorang individu. Ujian ini dibimbing oleh dua orang kaunselor pelatih UUM dalam setiap kumpulan. 


Caspers Tan Kah Hui, 22, selaku Ketua Exco Keusahawanan dan Kepimpinan Inasis Petronas berkongsi berasa teruja kerana kali pertama mengambil ujian psikologi.


“Saya dapati ia sangat menarik dan saya dapat banyak ilmu mengenai kaunseling daripada kaunselor pelatih UUM serta lebih memahami diri sendiri,” katanya lagi.


Program berakhir dengan sesi bergambar bersama serta agihan sebuah buku nota dan buku kecil mengenai kesihatan mental kepada para peserta.


Program ini telah mencerminkan komitmen Inasis Petronas dan UUM dalam menyokong kesihatan mental di kalangan mahasiswa serta memberikan akses kepada perkhidmatan kaunseling yang berkualiti dan percuma kepada komuniti kampus.


Sesi bergambar peserta bersama dengan Felo Inasis Petronas dan Kaunselor pelatih UUM

















1 view0 comments

Recent Posts

See All

コメント


bottom of page