Oleh: Athirah Kamalia
Poster program dipaparkan dalam talian sebelum acara berlangsung
SINTOK- Kelab Kesenian dan Kerohanian Islam (K2K) Universiti Utara Malaysia bekerjasama dengan Pusat Budaya dan Seni UUM menganjurkan bengkel Pengurusan Majlis baru-baru ini.
Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai aspek-aspek pengacaraan dan pelaksanaan majlis, serta etika komunikasi yang bersesuaian dengan majlis.
Seramai 200 orang pelajar yang terdiri dari pelbagai bidang pengajian hadir secara dalam talian menerusi platform Google Meet bagi menjayakan bengkel ini.
Peserta bengkel diberi pendedahan tentang tatakelola majlis dan etiket sosial yang dikongsikan oleh Puan Asmawiza Haji Hussin, Timbalan Pengarah, Pusat Budaya dan Seni.
Bukan itu sahaja, peserta turut didedahkan dengan protokol dan imej professional yang perlu dipatuhi dalam pelaksanaan sesuatu acara.
Menurut Pengarah Program, Norain binti Abdul Rahman Khan @ Che Yon, bengkel ini diadakan untuk memastikan ahli-ahli kelab mempunyai asas dalam pengurusan majlis yang professional.
Peserta bengkel dalam talian
“Saya rasa belajar tentang pengurusan majlis dan protokol ini permulaan bagi menjayakan sesuatu majlis. Pengurusan majlis yang baik akan menambah jenama kepada kelab.
“Kami turut menyediakan e-sijil, mata merit dan cenderahati kepada 150 orang peserta terawal untuk menarik minat pelajar untuk turut serta dalam bengkel yang diadakan ini.” Jelas beliau.
Puan Asmawiza Haji Hussin, selaku fasilator program, turut memberi pendedahan berkenaan sebab dan faktor sesuatu acara itu dianjurkan.
“Acara pelancaran produk boleh disifatkan sebagai salah satu acara untuk mendapatkan keuntungan manakala acara majlis rasmi dan majlis tidak rasmi dikira sebagai acara yang tidak bersifat keuntungan.
Di samping itu, untuk mengendalikan sesuatu acara, ahli jawatankuasa seperti ad- hoc, induk dan kecil amat-amat penting.
Mereka adalah sekumpulan orang yang dilantik atau dipilih untuk menguruskan tugas- tugas tertentu.” Tambah beliau lagi.
Selain itu, Puan Asmawiza Haji Hussin turut menjelaskan prinsip susunan keutamaan, susunan tempat duduk dan cara yang paling professional untuk mengiring tetamu ke tempat duduk.
Etika pemakaian formal bagi lelaki dan wanita turut ditekankan dengan mendalam.
Comments