Oleh: Norfikriah Binti Rozali
SAC sediakan van khas OKU untuk memudahkan pelajar OKU fizikal bergerak di sekitar UUM
SINTOK- Golongan Orang Kurang Upaya atau OKU adalah golongan yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental dan intelektual. Apabila berhadapan dengan pelbagai halangan, individu tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.
Golongan OKU di masyarakat adalah golongan yang mempunyai kekurangan dan tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan pelbagai perkara.
Namun, kekurangan yang dimiliki oleh golongan OKU ini bukanlah satu penghalang mereka untuk meneruskan pelajaran ke menara gading.
Mahasiswa OKU mendapat tempat dan layanan istimewa dari pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) khususnya di Inasis Petronas dengan menyediakan pelbagai kemudahan.
Walaupun mereka mempunyai kekurangan seperti fizikal dan mental, UUM menyediakan banyak kemudahan sokongan untuk mereka terus berjaya bersama-sama rakan-rakan mahasiswa yang lain.
Di UUM mempunyai dua buah Inasis yang mempunyai pelajar OKU. Dua Inasis tersebut adalah Inasis Petronas dan Telekom Malaysia (TM). Jumlah keseluruhan pelajar OKU yang menuntut ilmu di UUM adalah sebanyak lapan puluh orang.
UUM adalah satu-satunya universiti yang mempunyai Independent Living Centre (ILC) Permai. ILC Permai adalah salah satu agensi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menguruskan golongan OKU mengikut zon.
Tercetusnya, pembinaan ILC di UUM adalah disebabkan pada awalnnya bilik OKU di INASIS Petronas mempunyai dua bilik untuk lelaki dan dua bilik bagi pelajar wanita.
Pengerusi ILC adalah Encik Meor iaitu Felo Inasis Proton. Beliau juga adalah dari golongan OKU fizikal.
ILC Permai UUM sebuah agensi bagi zon Utara. Perkhidmatan fisioterapi, kaunseling dan terapi-terapi untuk mahasiswa OKU UUM dan masyarakat terdekat. ILC Permai menjadi pilihan golongan OKU sekiranya mereka tidak mendapat perkhidmatan yang diingini di hospital dan JKM disebabkan oleh kesesakan dan kepadatan golongan OKU yang lain.
Selain zon Utara, ILC juga mempunyai beberapa cawangan lagi di zon Barat, Selatan, Pantai Timur dan Borneo. Bangunan ILC di zon selain Utara tidak dibina di dalam sesebuah universiti.
ILC Permai UUM adalah pusat OKU di zon Utara merupakan satu-satunya ILC yang bertapak di sebuah universiti
Bangunan ILC di Inasis Petronas menggunakan bangunan yang sedia ada iaitu bangunan JKPS Petronas yang tidak digunakan. Bangunan ini telah diubah suai untuk dijadikan sebuah pusat OKU di Inasis Petronas.
Bangunan tersebut mempunyai sebuah pejabat, fasiliti untuk sesi fisioterapi, kaunseling dan wad. Wad ini menempatkan pelajar OKU yang tidak sihat dan akan dirawat oleh perawat yang bertugas. Perawat dan kaunselor ILC merupakan perawat yang bertauliah kerana telah menerima lantikan daripada JKM.
ILC hanya dibuka pada waktu pejabat iaitu pada pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Sekiranya pelajar OKU memerlukan perkhidmatan kesihatan selepas waktu pejabat, mereka akan dibawa ke Pusat kesihatan UUM (PKU) oleh Felo Inasis.
Terdapat dua golongan OKU yang menginap di Inasis Petronas iaitu OKU secara fizikal dan OKU dari segi mental. Mereka diberikan kemudahan penginapan dengan menempatkan di bilik aras bawah.
Golongan OKU dari segi fizikal ini akan ditempatkan di bilik khas yang mempunyai tandas berasingan untuk kegunaan harian. Satu bilik dihuni oleh dua orang pelajar. Walau bagaimanapun, pelajar OKU cacat penglihatan akan ditempatkan di bilik biasa dan hampir dengan tandas.
Mahasiswa OKU dapat menarik nafas lega mereka akan kekal menginap di Inasis yang sama sehingga tamat pengajian. Justeru itu, pihak Inasis Petronas yang menyimpan semua data-data para pelajar dan menempatkan pelajar OKU di aras bawah. Hal ini dapat memudahkan pergerakan golongan OKU terutamanya golongan OKU fizikal.
Selain daripada kemudahan penginaapan, mahasiswa OKU fizikal mendapat kemudahan kenderaan sebuah van khas untuk OKU. Van ini adalah sebuah inisiatif Pusat Penginpan Pelajar (SAC) untuk memudahkan pergerakan pelajar OKU untuk bergerak di sekitar kampus. Van ini beroperasi semasa waktu pejabat sahaja iaitu pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi dengan Kepujian UUM, Nur Irdina Fatini Binti Rosli, 22, sebagai pelajar autisme yang menginap di Inasis Petronas, beliau berasa bersyukur kerana ditempatkan di bilik biasa iaitu bilik yang sama dengan pelajar normal. Tambahnya lagi, dia juga bersyukur kerana akan kekal menginap di Inasis Petronas yang mempunyai kedudukan strategik yang berdekatan dengan Varsity Mall.
Kemudahan kondusif yang disediakan oleh pihak UUM, tanpa mengira ketidakupayaan, dapat memberikan peluang untuk mahasiswa OKU mendapatkan pendidikan tinggi seperti orang lain. Selain itu, menambah reputasi UUM sebagai institusi pendidikan yang prihatin dan progresif dalam menyediakan kemudahan untuk pelbagai keperluan pelajar.
コメント