Oleh: Tham Yen May
Pengarah Program, Nurin Ilyana binti Mohd Nazri (Keempat dari kanan.), JKPS Inasis Petronas mengambil gambar dengan Shiha Zikir
SINTOK – Festival Nostalgia X Pesta Rakyat Indonesia anjuran Exco Keusahawanan dan Kepimpinan JKPS Inasis Petronas, Universiti Utara Malaysia berjaya menerapkan kemahiran keusahawanan dan kepimpinan baru-baru ini.
Seramai 300 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan 30 peniaga tempatan dari Kedah dan Perlis turut serta memeriahkan festival empat hari ini.
Penganjuran program Festival Nostalgia X Pesta Rakyat Indonesia merupakan program keusahawanan dalam memperkukuhkan kemahiran pelajar UUM dalam bidang keusahawanan dan kepimpinan melalui pelbagai aktiviti menarik dan interaktif.
Festival Nostalgia menyediakan platform yang menyeronokkan dan bermanfaat kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran insaniah.
“Kemahiran insaniah harus dipupuk dalam kalangan pelajar dalam program ini”, ujar Pengarah Program, Nurin Ilyana binti Mohd Nazri.
Kemahiran insaniah membolehkan pelajar dapat membuat persediaan untuk berjaya bukan sahaja dalam kehidupan akademik, tetapi juga dalam bidang pekerjaan pada masa hadapan.
Program ini juga memberikan pengalaman secara langsung dalam pengurusan perniagaan, memupuk keyakinan diri, dan menyemai semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
Melalui festival ini, pelajar UUM dapat mengembangkan mekanisme daya tahan dan kecekalan untuk menghadapi cabaran dan mencapai matlamat dalam kehidupan.
Menurut Pengarah Program, Nurin Ilyana binti Mohd Nazri, Festival Nostalgia menampilkan pelbagai aktiviti bertujuan untuk meningkatkan kemahiran insaniah pelajar UUM. Aktiviti yang diadakan seperti bengkel, ceramah, perbincangan, pertandingan, dan persembahan telah meningkatkan kemahiran kepimpinan, kerjasama berpasukan, dan kebolehan komunikasi pelajar.
Para peserta berpeluang untuk belajar secara interaktif melalui aktiviti pembinaan pasukan, penyelesaian masalah, dan permainan peranan.
Program ini berlangsung selama empat hari dengan pelbagai aktiviti yang menarik setiap hari. Program dimulakan dengan perniagaan daripada pelbagai gerai vendor, permainan memanah, dan rumah hantu, diikuti dengan pembukaan rasmi Festival Nostalgia dan acara “Glow in the Dark”.
Hari-hari berikutnya diteruskan dengan acara menarik seperti “Simba Walk”, “Sarong Sepetang”, dan diakhiri dengan “Melompat Zaman Dahulu Kala”.
Salah satu acara kemuncak Festival Nostalgia adalah persembahan khas oleh artis terkenal, Shiha Zikir. Shiha Zikir mewujudkan situasi meriah dan menarik perhatian penonton, keadaan ini turut menarik perhatian ramai pengunjung dengan persembahannya yang menghiburkan.
Kehadiran artis bukan sahaja menterujakan hadirin, tetapi juga membantu menarik lebih ramai pengunjung ke gerai-gerai sekitar untuk berbelanja, memberi peluang kepada para peniaga untuk meraih keuntungan.
Festival Nostalgia juga memupuk semangat kekitaan dan merapatkan hubungan dalam kalangan pelajar UUM melalui aktiviti sosial seperti persembahan muzik, festival makanan, dan sambutan kebudayaan. Aktiviti-aktiviti tersebut berjaya mengurangkan isolasi sosial dan mewujudkan suasana yang lebih inklusif, serta menyokong perkembangan keseluruhan pelajar.
Dengan kejayaan penganjuran Festival Nostalgia, UUM sekali lagi menunjukkan komitmennya dalam memupuk pembangunan pelajarnya yang holistik.
Demikian, pelbagai aktiviti yang telah dijalankan meningkatkan pengalaman pelajar dan membolehkan mereka untuk menjadi pemimpin masa depan yang berdaya saing.
Pengarah Program, Nurin Ilyana binti Mohd Nazri, mengatakan bahawa reputasi Inasis Petronas dikembangkan lagi melalui penganjuran program Festival Nostalgia X Pesta Rakyat Indonesia dan juga memanfaatkan agensi dan masyarakat yang memerlukan.
Pelajar-pelajar meneroka rumah hantu semasa Festival Nostalgia
Comments