Oleh: Nurul Jannah Binti Yusof
Profesor Dr. Mazlan menyampaikan ceramah peranan umat sempena Pesta Buku Utara 2024
SINTOK - Pesta Buku Utara 2024 anjuran UUM Press menampilkan slot ceramah ‘Peranan Umat Islam dalam Perpaduan Masyarakat’ dengan kerjasama Kelab Rakan Siswa YADIM UUM, baru-baru ini.
Kelab Rakan Siswa YADIM yang ditubuhkan pada tahun 2019 kini mempunyai jaringan di setiap universiti awam di Malaysia untuk membentuk generasi muda berasaskan kepada prinsip akidah ahli sunnah wal jamaah.
Menurut Pengarah Program, Nur Najihah Najwa yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Kelab YADIM UUM, program ini membantu pelajar mempraktikkan budaya Islam dalam kehidupan masyarakat majmuk.
“Program ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum terutamanya di bawah institiusi yang sama dengan berkonsepkan nilai rohani,” jelas beliau.
Penceramah jemputan, Profesor Dr. Mazlan Bin Abdul Wahid yang juga merupakan Exco Majlis Profesor dari Universiti Teknologi Malaysia menjelaskan bahawa budaya Islam mampu melestarikan perpaduan dengan nilai-nilai murni seperti tolong-menolong, saling menghormati dan kasih sayang.
“Pelajar perlu berhenti menormalisasikan budaya berpuak atau dikenali sebagai ‘assabiyah’ yang dapat merosakkan perpaduan masyarakat kerana tidak wujud kata sepakat dan kerjasama ketika membuat sesuatu keputusan.
“Pemahaman yang mendalam terhadap prinsip-prinsip Islam dapat membina landasan yang kukuh bagi perpaduan masyarakat yang harmoni dan progresif,” jelas beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai profesor di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selama 34 tahun.
Penceramah (dua dari kiri) serta ahli Kelab Rakan Siswa YADIM bersama para penonton
Ceramah ini berlangsung dengan kerjasama Sekretariat Rukun Negara dijalankan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah UUM.
Pesta Buku Utara 2024 yang berlangsung dari 27 April hingga 30 April mendapat sambutan meriah dari kalangan pelajar dan masyarakat di sekitar daerah Kubang Pasu dan Perlis.
Selain pameran dan jualan buku dari pelbagai syarikat penerbit terkenal, disediakan juga gerai makanan, permainan dan kaunter bergerak KWSP, PTPTN serta Tabung Haji.
Program ceramah tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan kehadiran penonton yang terdiri daripada kalangan pelajar UUM dan termasuk juga pengunjung pesta buku.
Comments