Oleh: Tang Yvonne
Demonstrasi teknik memadam api
SINTOK – Inasis Petronas buat julung kalinya telah mengadakan program latihan kebakaran, ‘Fire Drill: Fire Won’t Wait, Plan Your Escape!’, baru-baru ini.
Latihan ini telah dirangka dan dipimpin oleh Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inasis Petronas.
“Penglibatan para pelajar dalam program ini telah berjaya mencapai sasaran seramai 300 penyertaan,” ujar Pengarah Program Nurul Nadiah Binti Yusof.
Latihan ini juga telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia cawangan Bukit Kayu Hitam yang diketuai oleh Encik Muzaini.
Menurut Pengarah Program, Nurul Nadiah Binti Yusof merangkap resident siswa Inasis Petronas, matlamat utama program ini dijalankan adalah sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran tentang langkah-langkah yang perlu diambil jika berlakunya kebakaran.
Latihan kecemasan ini juga untuk melatih pelajar agar bersikap tangkas untuk menyelamatkan diri.
“Latihan tersebut dibuat setiap tahun untuk memastikan pelajar sentiasa peka dan siapsiaga tentang langkah-langkah menyelamatkan diri jika berlaku kebakaran,” ujar beliau.
Latihan memadam api
Pada hari terbabit, pengumuman untuk keluar berhimpun telah dilakukan sejurus loceng kebakaran dibunyikan. Para pelajar secara cepat perlu berhimpun di tapak perhimpunan kecemasan berhampiran Dataran Ilmu, depan pejabat Inasis Petronas.
Terdapat aktiviti sampingan yang dijalankan semasa program latihan tersebut berlangsung seperti penerangan berkaitan jenis-jenis kegunaan pemadam api, cara menggunakannya serta bagaimana tindakan yang seharusnya para pelajar ambil apabila terlibat dalam situasi kebakaran.
Latihan praktikal dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api juga turut sama dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia cawangan Bukit Kayu Hitam.
Pelajar diberi peluang untuk turut sama merasakan pengalaman memadamkan api yang marak secara simulasi menggunakan alat pemadam api. Pelajar yang melakukan simulasi pemadaman api berkenaan juga dipakaikan sut bomba untuk menggelakan diri mereka daripada melecur jika terkena api.
Kenangan barisan anggota bomba dengan JKPS Petronas-UUM
Comments