Oleh: Tham Yen May
Pelajar yang layak sedang menderma darah
SINTOK - Seramai 150 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghadiri program Nadi Harapan di lounge pelajar Inasis Petronas baru-baru ini.
Program selama tiga hari dianjurkan oleh Inapan Siswa Petronas Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kolaborasi Hospital Sultanah Bahiyah serta Klinik Kesihatan Daerah Kubang Pasu.
Menurut Pengarah Program, Nurul Nadiah Binti Yusof, program Nadi Harapan: Derma Darah Selamatkan Nyawa bertujuan menggalakkan pelajar menderma darah dan membantu Hospital Sultanah Bahiyah yang mengalami kekurangan stok darah untuk kegunaan kecemasan.
Program ini juga mengandungi pemeriksaan kesihatan yang memanfaatkan pelajar.
Program telah menjalankan pendermaan darah dan pemeriksaan gula darah secara percuma.
Pengarah Program, Nurul Nadiah Binti Yusof, mengatakan bahawa pelajar-pelajar menderma darah mengikut tahap kesihatan mereka sendiri yang telah diperiksakan sebelum ini.
Pelajar-pelajar menunggu giliran untuk menderma darah
“Pelajar universiti harus mengekalkan kesihatan yang baik dan terutamanya mengawal pengambilan gula harian mereka, jadi mereka perlu memeriksa gula darah mereka dari semasa ke semasa” tambahnya lagi.
Para peserta tidak hanya menyumbang darah yang berharga, tetapi juga mendapat manfaat daripada sesi pemeriksaan gula darah yang disediakan. Peserta juga diberikan makanan oleh JKPS Inasis Petronas dan menerima cenderahati sebagai penghargaan daripada Hospital Sultanah Bahiyah.
“Program ini sangat bermakna dan memberi manfaat kepada diri saya dan pihak-pihak lain. Saya berharap dapat menyertai lebih banyak program pendermaan darah yang serupa”, ujar pelajar Ng Sin Man dari Inasis SME Bank yang turut serta dalam program ini.
Penganjuran program tahunan Nadi Harapan: Derma Darah Selamatkan Nyawa meningkatkan lagi reputasi Inasis Petronas yang sering menyumbang kepada agensi dan masyarakat yang memerlukan.
Program ini juga membantu Hospital Sultanah Bahiyah menangani kekurangan tabung darah mereka.
Kakitangan hospital mengesahkan keadaan kesihatan penderma darah
Comments