Oleh: Nurul Aina Binti Mohamad Zulkifli
Para peserta dalam keadaan bersedia untuk memulakan larian
SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) ialah universiti keenam negara yang secara rasminya ditubuhkan pada 16 Februari 1984 dan satu-satunya universiti yang ditetapkan supaya mengkhususkan kepada bidang pengurusan sejak awal penubuhannya. Pada bulan Jun 1984, UUM berpindah ke kampusnya yang pertama iaitu Kampus Darul Aman di Jitra apabila fasa pertama projek berkenaan siap.
Sementara itu, perancangan kampus tetap universiti bermula. Kampus tetap tersebut dibina di kawasan seluas 1,061 hektar di Sintok (daerah Kubang Pasu), yang terletak kira-kira 48 kilometer (KM) dari utara Alor Setar dan 10 kilometer (KM) timur Changlun, sebuah bandar kecil di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan sempadan Malaysia-Thai. Kampus Sintok nama rasmi untuk kampus tetap di mana UUM terus bertapak sehingga hari ini. Kampus ini terletak di lembah hutan tropika yang subur yang disiram oleh sungai kembar Sungai Badak dan Sungai Sintok yang mengalir melalui tengah- tengah kampus yang terletak di antara Bukit Utara.
Kini, UUM berusia 40 tahun. Sempena ulang tahun ini, UUM mengadakan 40 Program Utama bagi memeriahkan sambutan sempena 40 tahun pengasasan universiti dan Tahun Melawat UUM sepanjang 2024. Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Hari Pengasasan UUM disambut 16 Februari setiap tahun, merupakan hari ulang tahun kelahiran UUM dan beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga UUM termasuk mantan-mantan Naib Canselor dan alumni UUM.
Terdapat pelbagai program dianjurkan termasuk aktiviti berbentuk karnival, seni dan budaya serta program akademik seperti seminar yang memberi impak kepada komuniti dan warga akademia. Sempena ulang tahun ke-40 UUM, pihak pusat sukan mengadakan acara sukan khas, iaitu Larian Trek UUM. Acara ini bertemakan "Terokai Alam Tersembunyi" dan bertujuan memberi peluang kepada para peserta untuk meneroka keindahan alam semula jadi terbaik Sintok, Kedah. UUM yang terletak di tengah hutan tropika yang subur, sangat sesuai untuk larian merentas desa. Program anjuran Pusat Sukan UUM dengan kerjasama Northern Runners itu bertujuan menyihatkan badan sekali gus meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan peserta.
Larian yang diadakan bukan sekadar menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta, tetapi mereka juga berpeluang menikmati keindahan sepanjang trek yang kehijauan dan menyegarkan. Selain daripada itu, acara ini juga berperanan sebagai platform yang berharga dalam mempromosikan gaya hidup yang sihat dan meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar dalam kalangan peserta.
Seramai 510 orang peserta menyertai acara larian yang dibahagikan kepada tiga kategori jarak iaitu 5 kilometer (KM), 10 kilometer (KM), dan 25 kilometer (KM). Setiap kategori direka untuk memenuhi tahap kecergasan dan keupayaan yang berbeza-beza. Kategori 5KM disertai oleh 157 orang peserta, kategori 10KM menarik 204 orang peserta, manakala kategori 25KM melibatkan 149 orang peserta. Setiap laluan menyediakan cabaran unik yang menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta, sambil membawa mereka melalui pelbagai landskap indah, dari hutan rimba hingga bukit yang menghijau.
Penyelaras Program Larian Trek UUM, Amiruddin Hashim menyatakan bahawa program ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta, dengan mendorong mereka untuk terlibat dalam aktiviti larian yang melibatkan ketahanan fizikal dan mental. Selain itu, program ini juga untuk memupuk budaya alam sekitar dalam kalangan peserta yang merentasi pelbagai jenis landskap semula jadi. Tambahnya lagi, mereka diberi peluang untuk menghayati keindahan alam sekitar secara langsung dan dapat meningkatkan kesedaran mereka terhadap keunikan kepelbagaian alam semula jadi yang perlu dijaga dan dihargai.
"Larian Trek UUM bukan hanya sebuah acara sukan, ia adalah satu peluang untuk merayakan pencapaian 40 tahun UUM serta memperkenalkan institusi ini kepada orang luar”, tambah beliau.
Uji Kekuatan Mental Dan Fizikal
Larian dimulakan dengan kategori 25KM terlebih dahulu, diikuti oleh kategori 10KM, dan akhirnya kategori 5KM. Para peserta diwajibkan membawa beberapa barang mandatori seperti selimut kecemasan, cawan dan mangkuk, telefon bimbit, dan alat pertolongan cemas. Ini merupakan strategi penting yang diambil oleh penganjur untuk memastikan acara berjalan dengan lancar dan keselamatan peserta terjamin.
Para peserta berhenti di checkpoint untuk mendapatkan bekalan sebelum meneruskan larian
“Checkpoints” dan bekalan merupakan aspek penting dalam perlumbaan sukan untuk memastikan kelancaran dan keselamatan para peserta sepanjang acara berlangsung. Sepanjang trek, beberapa “checkpoint” disediakan bagi membolehkan peserta berehat seketika untuk mendapatkan bekalan air dan makanan ringan. “Checkpoint” membolehkan peserta merehatkan badan dan mengisi semula tenaga sebelum meneruskan perjalanan mereka. Selain memberikan ruang untuk rehat, kehadiran “checkpoints” juga menyediakan jaminan keselamatan kepada peserta. Mereka boleh memperoleh bantuan segera jika mengalami sebarang masalah kesihatan atau kecederaan semasa perlumbaan.
Para peserta Larian Trek UUM mengakui bahawa mereka menempuh pelbagai cabaran sepanjang perjalanan larian, tetapi dengan semangat yang tidak mudah mengalah, mereka mampu mengatasi semua halangan yang dihadapi. Cabaran-cabaran ini termasuklah tanah berpasir yang licin, bukit yang agak curam, serta keadaan cuaca yang berubah-ubah.
Menurut peserta acara larian ini, Muhammad Syaiful, laluan mencabar ketika mendaki dan menuruni beberapa puncak seperti Bukit Urat Betis, Bukit Dagu, Bukit Kelulut, Bukit Senget, Bukit Toi. “Saya juga turut berpeluang menikmati keindahan flora dan fauna seperti Tasik Sintok, Sungai Badak, dan Pokok 3 Beradik”, ujar beliau.
"Walaupun tidak menang dan berasa letih, tetapi saya dapat merakamkan kenangan manis dan sangat bermakna”, ujar Muhammad Danial Bin Ahmad, salah seorang peserta yang menyertai acara UUM Sintok Trail Run 2024. Mengakui menempuh pelbagai cabaran sepanjang perjalanan namun dengan semangat tidak mudah mengalah semua halangan dapat diatasi.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nasiruddin Bin Haron. Acara ini menyaksikan para juara dari kategori jarak 5KM, 10KM, dan 25KM merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM400. Pemenang tempat kedua menerima RM300, manakala tempat ketiga mendapat RM200. Bagi pemenang tempat keempat dan kelima, masing-masing menerima RM150 sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
Turut memeriahkan program, Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Mohd Fo’ad Bin Sakdan, Timbalan Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Bin Mohamed, Pengarah Pusat Sukan UUM, Dr. Nasiruddin Bin Haron.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd Fo’ad Bin Sakdan
bersama dengan para peserta
Comments